Sisamone Sithirajvongsa

Ia susulan daripada Malaysia dilantik sebagai Pengerusi Pendidikan ASEAN bagi tempoh dua tahun bermula 2016 sehingga 2017 selepas kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2008.

Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan dan Sukan Laos, Prof. Madya Dr. Sisamone Sithirajvongsa berkata, pi­haknya berharap Malaysia akan bekerjasama secara efektif dengan negara ASEAN bagi mengharmonikan sistem pendidikan di rantau berkenaan.

“Kami telah mencapai banyak kejayaan terutamanya kerjasama dalam bi­dang pendidikan tinggi dan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET), selain kualiti, pengiktirafan sijil dan ijazah, perpindahan kredit bagi pelajar institusi pengajian tinggi ASEAN, kerjasama dalam bidang kurikulum, pergerakan pelajar dan tenaga pengajar sepanjang Laos mengambil alih sebagai Pengerusi Pendidikan ASEAN dua tahun lalu.

“Ini yang telah kami lakukan setakat ini dan berharap agar Malaysia meneruskan momentum ini ke arah pencapaian yang lebih baik,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pegawai Tertinggi Pendidikan ASEAN (SOM-ED) Ke-11 di sini hari ini.

SOM-ED Ke-11 dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad.

Mesyuarat persediaan itu diadakan sempena Mesyuarat Peringkat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN (ASED) Ke­sembilan yang berlangsung hari ini sehingga 26 Mei ini.

Mengulas lanjut, Sisamone berkata, setakat ini, kerjasama antara semua negara anggota menunjukkan perkembangan memberangsangkan dan langkah itu mampu bagi melonjakkan mutu pendidikan gagasan serantau itu.

Dalam pada itu, Filipina me­maklumkan akan memberi komitmen dan sokongan penuhnya terhadap pelbagai inisia­tif yang dikemukakan bagi memanfaatkan komuniti ASEAN secara menyeluruh pada masa akan datang.

Ketua Delegasi yang menge­tuai pegawai kanan tertinggi Filipina, Jesus L. R. Matio berkata, langkah itu penting kerana ASEAN kini sedang bergerak ke hadapan dan kerjasama bersepadu antara semua negara anggota perlu bagi menjadikan rantau ini lebih kompetitif di pasaran global.